Monday, October 6, 2008

AMALAN UNTUK MENGATASI KEPENATAN ; KISAH SAIDATINA FATIMAH AZ-ZAHRA

(seperti yang dikirimkan oleh seorang teman)


Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada puteri kesayangan baginda, Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari, Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :

'Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantumu.'

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah SAW tidak mampu memenuhi permintaan puteri kesayangan baginda itu. Lalu Rasulullah SAW pergi menemui puteri serta menantu baginda. Baginda SAW mengajarkan :

'Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam.'

Inilah penawar ringkas yang Nabi SAW ajarkan kepada puteri dan menantu baginda bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah SAW ini. Katanya 'Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku.'

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya-ALLAH petunjuk Nabawi ini dapat mengatasi kepenatan bebanan hidup seharian kita, dan akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

No comments: