Monday, October 6, 2008

TELADAN RASULULLAH SAW

Kisah Rasulullah SAW Sebagai Teladan


1. Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah SAW menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isteri. Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2. Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum Baginda SAW menyinsing lengan baju untuk membantu isteri di dapur. Saidatina 'Aisyah r.a menceritakan, “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.”

3. Jika mendengar azan, Baginda SAW cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.

4. Pernah Baginda SAW pulang pada waktu pagi. Tentulah Baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihat tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Saidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi SAW bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah SAW lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5. Sebaliknya Baginda SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah SAW menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi SAW. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6. Pernah Baginda SAW bersabda, "Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7. Pada suatu ketika Baginda SAW menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.

Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,
"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."
"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah SAW mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"
Lalu Baginda SAW menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8. Baginda SAW pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9. Rasulullah SAW hanya diam dan bersabar bila kain rida' Baginda direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang di kencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10. Kecintaan Baginda SAW yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah SAW.. menolak sama sekali rasa ketuanan.

11. Anugerah kemuliaan daripada ALLAH SWT langsung tidak dijadikan sebab untuk Baginda SAW merasa lebih daripada orang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam berseorangan.

12. Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda SAW, namun baginda masih lagi di waktu-waktu sepi malam hari terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kaki bengkak-bengkak.

13. Fizikal Baginda SAW sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwa yang tinggi. Bila ditanya oleh Saidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa masih bersusah payah begini?"
Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."




"Wahai Tuhan.. ku tak layak ke syurgamu ...
namun tak pula aku sanggup ke nerakamu...
kamilah hamba yang mengharap belas darimu ...

"Ya Allah... jadikanlah kami hamba-hambaMU yang bertaqwa ..
ampunkan dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa semua umat
Islam yang samada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia"


Amin….

No comments: